Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

MAHASISWA UTHM PERKASA KOMUNITI MUAR MELALUI BENGKEL “DON’T WASTE YOUR WASTE: BENGKEL SISA KE REZEKI KOMUNITI MUAR”BERASASKAN INOVASI SISA MAKANAN

PAGOH, 4 Jun 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen pemindahan ilmu kepada masyarakat melalui penganjuran program “Don’t Waste Your Waste: Bengkel Sisa ke Rezeki Komuniti Muar” anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat.

Program ini telah berlangsung di Foyer Aras 1, Kampus Cawangan Pagoh, dengan penyertaan seramai 80 peserta dan fasilitator yang terdiri daripada 21 orang komuniti Daerah Muar serta 59 orang mahasiswa dan staf UTHM.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang, yang menekankan kepentingan mengurangkan pembaziran makanan serta menguruskan sisa secara lestari dalam mendepani cabaran alam sekitar global. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap program yang dianjurkan oleh FAST, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa UTHM untuk menyumbang idea dan tenaga kepada masyarakat. Menurut beliau, keadaan ini membuktikan bahawa mahasiswa hari ini mampu menjadi agen perubahan yang membawa manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Program ini diketuai oleh Tan Wen Xin selaku Pengarah Program dengan bimbingan dua orang pensyarah sebagai penasihat, iaitu Dr. Farawahida binti Abdul Halim dan Ts. Dr. Aida Safina binti Aridi. Sesi utama bengkel telah disampaikan oleh Dr. Farawahida yang memberi penekanan kepada isu dan fakta pembaziran makanan, konsep pengurusan sisa makanan serta potensi inovasi dalam memanfaatkan sisa makanan bagi menghasilkan produk baharu yang bernilai tambah dan mempunyai potensi komersial.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pendekatan teori dan praktikal dalam penghasilan makanan berasaskan sisa makanan yang telah diolah semula menjadi produk baharu yang lebih kreatif, selamat dan mempunyai nilai komersial. Aktiviti ini dilaksanakan secara amali (hands-on) di Makmal Pemprosesan Makanan serta Makmal Bakeri, Snek dan Konfeksionari bagi memberi pengalaman sebenar kepada peserta dalam mengaplikasikan teknik inovasi makanan.

Antara produk yang diajar oleh mahasiswa UTHM kepada komuniti ialah BublyLoaf (minuman soda daripada sisa roti), Krup-Cane (rempeyek daripada hampas tebu), Mango Jeng (sapuan daripada biji mangga), SNAPZ (kerepek nasi daripada sisa nasi) dan Banana Peelicious (biskut daripada kulit pisang).

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap konsep ekonomi kitaran, malah membuka ruang kepada komuniti untuk melihat sisa makanan sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan semula bagi menjana pendapatan sampingan. Selain itu, peserta turut diberi pendedahan kepada kemahiran asas keusahawanan, termasuk pembangunan bahan promosi menggunakan aplikasi Canva bagi tujuan pemasaran produk.

“Antara semua produk yang dipelajari hari ini, terdapat produk yang merupakan inovasi baharu kerana kami tidak pernah menyangka ia boleh dihasilkan daripada sisa makanan. Proses pembuatannya juga cukup mudah, sekali gus sesuai dijadikan aktiviti bersama anak-anak,” kata salah seorang peserta.

Penganjuran program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim. Usaha ini selaras dengan komitmen UTHM dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu, inovasi teknologi makanan serta pembangunan kemahiran keusahawanan berasaskan sisa makanan, di samping mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dengan masyarakat setempat.

Laporan disediakan oleh Dr. Farawahida Binti Abdul Halim dan Ts. Dr. Aida Safina Binti Aridi

Last Updated on July 6, 2026

Translate »