Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Lawatan Industri ke Bank Muamalat Malaysia Berhad: Meneroka Aplikasi Matematik dan Teknologi dalam Industri Perbankan

10 Jun 2026 | Seramai 32 orang pelajar Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dengan Kepujian bersama pensyarah pengiring, Ts. Dr. Isaudin bin Ismail dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah berpeluang untuk mengikuti program Lawatan Industri ke Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan lebih mendalam mengenai operasi industri perbankan serta memahami bagaimana elemen matematik, teknologi dan analisis data diaplikasikan dalam pengurusan kewangan dan perkhidmatan perbankan moden.

Bank Muamalat Malaysia Berhad merupakan sebuah institusi kewangan Islam yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan prinsip Syariah. Sebagai salah satu institusi kewangan utama di Malaysia, bank ini memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kewangan kepada individu, perniagaan dan organisasi. Melalui lawatan ini, para pelajar berpeluang untuk memahami struktur operasi perbankan, pengurusan risiko, sistem teknologi maklumat serta penggunaan data dalam proses membuat keputusan di sektor kewangan.

Sepanjang sesi lawatan, para pelajar telah diberikan taklimat khas oleh wakil daripada bahagian ekonomi dan pengurusan risiko Bank Muamalat Malaysia Berhad. Sesi pertama telah disampaikan oleh Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Chief Economist Bank Muamalat Malaysia Berhad yang berkongsi mengenai peranan ahli ekonomi dalam menganalisis keadaan ekonomi semasa, meramalkan trend pasaran serta membantu pihak bank dalam membuat keputusan strategik. Pelajar turut didedahkan kepada penggunaan data ekonomi, analisis statistik dan model ramalan yang digunakan dalam menilai perkembangan ekonomi negara dan kesannya terhadap industri perbankan.

Melalui sesi ini, para pelajar dapat melihat bagaimana konsep matematik, statistik dan analisis data yang dipelajari dalam program Matematik Teknologi diaplikasikan dalam dunia pekerjaan sebenar. Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada kepentingan pemikiran analitikal dalam mentafsir data ekonomi bagi membantu organisasi membuat keputusan yang lebih tepat dan berkesan.

Sesi bersama Dr Afzanizam Abdul Rashid, Chief Economist Bank Muamalat Malaysia Berhad

Sesi kedua diteruskan bersama pasukan Risk Management yang memberikan penerangan berkaitan kepentingan pengurusan risiko dalam sektor perbankan. Pelajar diberi pendedahan mengenai pelbagai jenis risiko yang dihadapi oleh institusi kewangan seperti risiko kredit, risiko pasaran dan risiko operasi serta kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti, mengukur dan mengawal risiko tersebut. Perkongsian ini telah menunjukkan bagaimana pendekatan matematik, pemodelan kuantitatif dan analisis kebarangkalian digunakan bagi memastikan kestabilan dan keselamatan operasi perbankan.

Sesi bersama Risk Management Team

Lawatan ini amat signifikan kerana ia memberikan gambaran yang jelas tentang aplikasi matematik dalam bidang ekonomi dan pengurusan risiko. Konsep yang dipelajari dalam kursus seperti statistik, kebarangkalian, analisis data dan pemodelan matematik merupakan antara asas penting yang digunakan dalam kedua-dua bidang tersebut. Pendedahan ini membantu para pelajar memahami bahawa ilmu yang dipelajari di universiti mempunyai aplikasi yang luas dalam industri kewangan dan mampu membuka pelbagai peluang kerjaya pada masa hadapan.

Selain itu, sesi soal jawab yang diadakan telah memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan para profesional industri. Pelajar berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan laluan kerjaya, kemahiran yang diperlukan dalam bidang ekonomi dan pengurusan risiko serta cabaran yang dihadapi dalam industri perbankan yang sentiasa berkembang seiring dengan perubahan ekonomi dan teknologi.

Secara keseluruhannya, Program Lawatan Industri ke Bank Muamalat Malaysia Berhad telah berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai aplikasi matematik dan teknologi dalam sektor perbankan. Pihak FAST ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi ilmu dan pengalaman yang sangat bermanfaat sepanjang program berlangsung. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri serta melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

#UTHMProducesProfessionals #UTHMGTU2030 #FASTUTHM

Last Updated on July 17, 2026

Translate »