Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Laporan Program Pensijilan Profesional SAS Certified Specialist: Visual Business Analytics Using SAS Viya

9 Julai 2026 | UTHM Pagoh : Program Pensijilan Profesional SAS Certified Specialist: Visual Business Analytics Using SAS VIYA telah berjaya dilaksanakan pada 9 Julai 2026 di Makmal Gunasama Statistik setelah pelajar melengkapkan kuliah dan amali bagi kursus  Exploratory Data Analysis & Visualization (BWS 21903) di bawah pensyarah Prof. Madya Dr. Mohd Saifullah Rusiman. Program ini bertujuan memberikan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang analitik data dan visualisasi perniagaan menggunakan platform SAS VIYA, selaras dengan keperluan industri yang semakin menitikberatkan kemahiran analisis data dan pembuatan keputusan berasaskan data. Program ini dianjurkan bersama UTHM, SAS Institute Sdn. Bhd., Kuala Lumpur dan SAS Institute Inc., USA yang mana SAS Institute Sdn. Bhd. merupakan pengedar tunggal dan pemegang lesen yang sah bagi SAS Institute Inc., USA.

Seramai 30 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian (BWS), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menyertai program pensijilan ini dengan pecahan pelajar Tahun 2 (28 orang pelajar), Tahun  3 (1 orang pelajar) dan Tahun 1 (1 orang pelajar). Proktor Program SAS ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Saifullah Rusiman, Prof. Madya Dr. Mahathir Mohamad dan En. Kamil Khalid. Ketiga-tiga proktor telah memastikan proses peperiksaan dan pensijilan berjalan dengan lancar, teratur serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Program ini telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan apabila kesemua 30 orang peserta berjaya lulus peperiksaan pensijilan profesional tersebut, sekali gus mencatatkan kadar kelulusan 100%. Kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi para pelajar dan pensyarah dalam meningkatkan kompetensi profesional mereka, di samping mencerminkan keberkesanan usaha fakulti dalam menyediakan pelajar yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Pensijilan SAS Certified Specialist: Visual Business Analytics Using SAS Viya merupakan pengiktirafan profesional yang mengesahkan keupayaan pemegang sijil dalam : 

  • Memahami konsep asas Visual Analytics dan peranannya dalam analitik data.
  • Mengakses, meneroka dan menyediakan data daripada pelbagai sumber untuk tujuan analisis.
  • Menghasilkan pelbagai bentuk visualisasi data seperti carta, graf, peta dan jadual interaktif bagi mempersembahkan maklumat secara lebih jelas dan bermakna.
  • Membangunkan dashboard yang membantu pengguna memantau prestasi serta mengenal pasti trend dan corak data.
  • Mengaplikasikan teknik penapisan, pengelompokan dan penerokaan data bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam.
  • Membangunkan laporan interaktif bagi mentafsir hasil analisis dan menyampaikan dapatan data secara profesional dan lebih tepat kepada pihak berkepentingan bagi menyokong proses pembuatan keputusan dan penggubalan dasar.

Pensijilan ini memberikan nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan serta meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan dalam bidang analitik data, statistik, sains data, analitik perniagaan dan teknologi maklumat. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta mengukuhkan lagi usaha melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi.

Last Updated on July 15, 2026

Translate »