
KOMUNITI MUAR TEROKAI SAINS DI SEBALIK JELI DAN GUMMY MELALUI SWEET TECH WORKSHOP 2026
PAGOH, 10 Jun 2026 – Komuniti Muar berpeluang meneroka aplikasi sains dan teknologi makanan secara langsung menerusi Sweet Tech Workshop 2026: Explore the Science of Jelly & Gummy Making, sebuah program yang mengetengahkan inovasi dalam penghasilan produk konfeksi moden melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan amali.yang berlangsung di Makmal Pemprosesan Makanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM. Program ini dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) UTHM sempena Food InTech 9.0 dalam rangkaian FAST International STEM Festival 2026.

Bengkel ini bertujuan memperkenalkan aplikasi sains makanan secara praktikal kepada masyarakat melalui penghasilan produk jeli dan gummy yang semakin mendapat permintaan dalam industri makanan moden. Peserta didedahkan kepada konsep asas teknologi makanan termasuk fungsi bahan pembentuk gel, kawalan tekstur, formulasi produk, keselamatan makanan serta proses penghasilan produk konfeksi yang berkualiti dan selamat dimakan.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta berpeluang mengikuti demonstrasi dan aktiviti amali secara langsung yang membolehkan mereka menghasilkan sendiri produk jeli dan gummy menggunakan teknik pemprosesan yang digunakan dalam industri. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap prinsip sains makanan, malah memberi pengalaman berharga mengenai proses pembangunan produk makanan bernilai tambah.

Menurut pihak penganjur, Sweet Tech Workshop 2026 dilaksanakan bagi merapatkan jurang antara universiti dan komuniti melalui pemindahan ilmu serta perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi makanan. Program sebegini mampu meningkatkan literasi STEM dalam kalangan masyarakat serta membuka peluang kepada peserta untuk meneroka potensi keusahawanan berasaskan produk makanan inovatif.
Kerjasama strategik bersama ICRC UTHM turut memperkukuh peranan universiti dalam melaksanakan agenda penglibatan komuniti yang berimpak tinggi. Melalui pendekatan berasaskan inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat, program ini berjaya memperlihatkan bagaimana ilmu sains dan teknologi boleh diterjemahkan kepada aplikasi yang mudah difahami serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Penganjuran Sweet Tech Workshop 2026 mencerminkan komitmen FAST UTHM dalam memperkasakan pendidikan STEM dan teknologi makanan melalui aktiviti yang interaktif, inklusif dan relevan dengan keperluan komuniti. Diharapkan program seperti ini dapat terus menjadi platform untuk memupuk minat masyarakat terhadap bidang sains makanan serta menggalakkan penghasilan produk makanan inovatif yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

Laporan disediakan oleh Dr Aida Safina
Last Updated on June 18, 2026