Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

FOOD INTECH 9.0: ONE SEA, ONE PLATE PERKASA INOVASI DAN KELESTARIAN INDUSTRI MAKANAN

PAGOH, 12 Jun 2026 – Bersempena dengan FAST International STEM Festival 2026, Program Food Intech 9.0 anjuran pelajar dan pensyarah Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM Kampus Cawangan Pagoh telah berlangsung dengan jayanya pada 9 hingga 12 Jun 2026 bertemakan “One Sea, One Plate”. Program selama empat hari ini berjaya menghimpunkan pelajar sekolah, komuniti, akademia dan pihak industri dalam pelbagai aktiviti berteraskan inovasi, pendidikan STEM, pembangunan produk makanan serta kelestarian alam sekitar.

Program dimulakan dengan STEM Station Games yang melibatkan seramai 40 orang pelajar dari SMK Dato’ Sri Amar Diraja, Muar. Aktiviti berbentuk permainan dan eksperimen interaktif ini bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan.

Selain itu, Food Product Development Exhibition yang ditaja oleh Five Stars Fruit Sdn Bhd, turut diadakan bagi mempamerkan hasil inovasi dan pembangunan produk makanan oleh pelajar Teknologi Makanan. Pameran ini memberi peluang kepada peserta untuk mempersembahkan idea kreatif serta produk bernilai tambah yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Pada 10 Jun 2026, peserta berpeluang menimba ilmu daripada pemain industri menerusi sesi ceramah khas yang disampaikan oleh wakil daripada Yakult Malaysia dan Nestlé Malaysia. Sesi perkongsian ini memberi pendedahan mengenai perkembangan semasa industri makanan, kawalan kualiti serta peluang kerjaya dalam sektor makanan dan minuman.

Kemuncak program adalah NextGen International Pitching Competition yang menghimpunkan penyertaan daripada beberapa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Pertandingan ini menjadi platform untuk pelajar membentangkan idea inovatif berkaitan makanan dan kelestarian. Keputusan pertandingan menyaksikan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) meraih Pingat Emas, diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Pingat Perak, manakala Western Mindanao State University (WMSU), Filipina membawa pulang Pingat Gangsa.

Program turut menampilkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program “SIP Smart, Grow Green with Getta Coffee” hasil kerjasama bersama Getta Coffee. Program ini melibatkan penyertaan pelajar daripada SMKA Pagoh, SMK Dato’ Sri Amar Diraja dan MRSM Muar. Peserta didedahkan kepada amalan pengurusan sisa makanan secara lestari melalui penghasilan baja kompos menggunakan sisa kopi dan bahan organik oleh Ts. Dr. Aida Safina Binti Aridi.

Bagi memperkasakan komuniti setempat, Sweet Tech Workshop telah diadakan dengan penyertaan masyarakat sekitar Muar. Bengkel ini memberi pendedahan secara praktikal mengenai teknik penghasilan produk gummy serta asas pembangunan produk konfeksioneri yang berpotensi dijadikan sumber pendapatan.

Pada 11 dan 12 Jun 2026, Food Intech 9.0 turut menganjurkan Kursus Kompetensi Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP). Kursus ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai sistem jaminan keselamatan makanan dan amalan pengilangan yang baik selaras dengan keperluan industri.

Secara keseluruhannya, Food Intech 9.0 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuhkan hubungan antara universiti, industri, sekolah dan komuniti melalui pengintegrasian ilmu, inovasi dan kelestarian. Selaras dengan tema “One Sea, One Plate”, program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan makanan, pemeliharaan sumber alam dan pembangunan industri makanan yang mampan.

Laporan disediakan oleh Dr Aida Safina

Last Updated on June 18, 2026

Translate »