Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

FAST UTHM Perkasa Penyelidikan Pelajar melalui 4th Food Science and Technology Undergraduate Colloquium (FOSTUC) 2026

Pagoh, 26 Februari 2026 – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila menyertai Program 4th Food Science and Technology Undergraduate Colloquium (FOSTUC) 2026 buat julung kalinya dengan menghantar seramai 15 orang pelajar tahun akhir daripada Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian.

Program yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Cisco Webex pada 25 hingga 26 Februari 2026 ini dianjurkan oleh Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UTHM. Kolokium ini merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pelajar tahun akhir daripada institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program Sains dan Teknologi Makanan bagi berkongsi hasil penyelidikan Projek Sarjana Muda masing-masing.

Bertemakan “Advancing Food Security through Translational Science”, FOSTUC 2026 menjadi platform akademik yang memberi peluang kepada pelajar untuk membentangkan dapatan penyelidikan mereka di hadapan panel penilai. Penyertaan sulung UTHM dalam kolokium ini mencerminkan komitmen FAST dalam memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar serta meningkatkan keterlihatan Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian di peringkat kebangsaan. Ia juga membuktikan bahawa pelajar UTHM mampu bersaing dan menampilkan penyelidikan berkualiti yang setanding dengan pelajar daripada universiti lain.

Dalam kolokium tersebut, tiga pelajar UTHM telah dipilih sebagai penerima anugerah pembentangan terbaik. Tempat pertama dimenangi oleh Nur Farhanah Izzueein Binti Roslan menerusi pembentangan bertajuk “Physicochemical Properties, Sensory Evaluation, and Pancreatic Lipase Inhibition of Garcinia-Based Functional Gummy”. Kajian tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan produk konfeksi berfungsi berasaskan garcinia yang berpotensi menyumbang kepada amalan gaya hidup sihat.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Nur Ain Sofea Binti Mohd Efandi menerusi kajian bertajuk “Formulation and Sensory Evaluation of Bandung-Flavoured Hard Candy”, yang memfokuskan pembangunan produk gula-gula berperisa bandung. Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh Hajar Nur Athirah Binti Zamri melalui pembentangan bertajuk “Physicochemical, Sensory, and Antioxidant Properties of Roselle-Enriched Pasta with Banana Peel Flour”, yang mengetengahkan inovasi produk makanan bernilai tambah melalui penggunaan tepung kulit pisang.

Selain itu, FOSTUC 2026 turut menampilkan siri syarahan oleh penceramah utama (keynote speakers) yang mewakili setiap universiti penganjur. Sesi perkongsian ini memberi inspirasi kepada para pelajar untuk meneruskan penyelidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Penyertaan UTHM dalam FOSTUC 2026 juga membuka ruang kepada jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan yang lebih erat antara UTHM, UPM, UMT, UMS dan UiTM. Hubungan strategik ini dijangka menjadi pemangkin kepada perkongsian kepakaran, pembangunan projek penyelidikan bersama, pertukaran ilmu serta pelaksanaan aktiviti akademik yang memberi manfaat kepada semua institusi yang terlibat.

Melalui penyertaan sulung ini, FAST berharap lebih ramai pelajar akan terus melibatkan diri secara aktif dalam penyelidikan, inovasi dan pertandingan akademik pada masa hadapan. Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan kompetensi graduan, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri makanan negara. Pada masa yang sama, kejayaan ini turut memperkukuh reputasi UTHM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang komited dalam melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan cemerlang dalam bidang sains dan teknologi makanan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Last Updated on July 7, 2026

Translate »