UTHM Kampus Cawangan Pagoh Meriah dengan Penganjuran Mega FAST Chess Tournament dan FAST Mini 4WD Grand Prix
PAGOH, 18 April 2026 – Science and Techonogy Club (STC) dengan kerjasama Fast Postgraduate Chapter (FPC), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan FAST Chess Tournament 2026 dan program FAST Mini 4WD Grand Prix 2026 secara serentak.
Dwi-program berimpak tinggi yang berlangsung di UTHM Kampus Cawangan Pagoh itu bertujuan menyediakan platform interaktif bagi merangsang minda, di samping memupuk minat pelajar dan komuniti setempat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Bagi FAST Chess Tournament 2026, pertandingan tersebut berjaya menarik kira-kira 300 penyertaan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta pelajar sekolah menengah dan rendah. Inisiatif ini membuka ruang kepada para peserta untuk beraksi di pentas kompetitif sambil mengasah kemahiran berfikir kritis dan memupuk semangat persaingan yang sihat.















Kejohanan ini menggunakan format Sistem Swiss bagi kategori catur pantas (Rapid) dengan kawalan masa 15 minit berserta tambahan lima saat bagi setiap langkah. Format intensif ini mencabar ketangkasan kognitif dan kecekapan peserta dalam merangka strategi taktikal secara pantas.

Sementara itu, Program FAST Mini 4WD Grand Prix 2026 turut mendapat sambutan hangat apabila seramai 130 peserta mengambil bahagian. Penyertaan tersebut merangkumi murid sekolah rendah, sekolah menengah, dan pelajar IPTA yang dibahagikan kepada tiga kategori bagi memastikan persaingan yang adil serta inklusif.

Keunikan acara Mini 4WD ini terserlah apabila setiap peserta dibekalkan dengan kit kenderaan yang perlu dipasang sendiri sebelum memulakan perlumbaan. Peserta berpeluang memahami komponen asas dan melakukan modifikasi ringkas bagi meningkatkan prestasi kenderaan masing-masing.
Pendekatan ‘hands-on’ ini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal, malah menggalakkan kemahiran penyelesaian masalah secara kreatif. Suasana pertandingan bertambah rancak dengan kelolaan pelbagai aktiviti seperti sesi pemasangan kit, ujian trek berhalangan, pusingan kelayakan, dan perlumbaan akhir.
Majlis perasmian bagi kedua-dua program telah disempurnakan oleh Menjalankan Fungsi Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman. Turut hadir menyerikan majlis ialah Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang, dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FAST merangkap Penasihat Program FAST Chess Tournament 2026, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Suhana Jamaian dan Dr. Fahmiruddin Bin Esa selaku Penasihat Program FAST Mini 4WD Grand Prix 2026.
Secara keseluruhannya, penganjuran dwi-program ini bukan sahaja berjaya mengetengahkan bakat dan inovasi generasi muda, malah turut berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran serta kejayaan program berkenaan. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.




























































